21 Mei 2009

Kisah Salman Al Farisi

Sebagai kisah pertama, saya utarakan kisah sahabat Nabi s.a.w yang unggul iaitu Salman Al Farisi. Semua orang kenal dengan Salman Al Farisi. Beliau cukup popular dengan cadangan beliau agar mengadakan parit bagi mengekang kemaraan tentera Al Ahzab dari masuk ke Madinah sehingga perang tersebut dengan nama Perang Khandak (Parit)

************************************************************************************



Kisah ini adalah menurut sebagaimana yang tersebut di dalam Sirah Ibnu Hisyam, kitab sejarah yang paling terkenal dan tertua di dalam Islam yang mana, ada juga dimuatkan di dalam kitab sejarah oleh kaum Orientalis seperti Emile Dermenghem.

Kata Ibnu Ishak (guru dari Ibnu Hisyam) : “Asim bin Umar bin Katadah Al Ansari bercerita kepada saya, yang diterimanya daripada Muhammad bin Labid, daripada Abdullah bin Abbas, katanya:

“Telah bercerita kepada saya Salman Al Farisi dari mulutnya sendiri. Katanya:

“Saya adalah orang Parsi. Seorang penduduk di negeri Isbihan dari suatu kampung yang bernama Jaiyyu. Bapa saya adalah seorang Dihkan (Penghulu Kampung) dan saya adalah di antara makhluk Allah yang amat dicintainya. Terus menerus saya dicintainya sehingga saya dipenjarakannya di dalam rumah seperti anak gadis di kampung. Saya seorang yang amat taat mengamal agama Majusi (agama orang Parsi, menyembah api), sehingga saya menjadi penjaga apinya yang tidak boleh padam walaupun sebentar sahaja.”

Kata Salman lagi:“ Bapa saya mempunyai sebuahkebun yang besar hasilnya. Pada suatu hari, ayah saya itu sibuk menguruskan sebuah rumahnya. Beliau berkata kepada saya:

“Anakku! Saya hari ini sibuk menguruskan rumahku ini. Aku tidak dapat menguruskan kebun itu, pergilah ke sana melihat-lihat”, serta memerintahkan apa-apa yang dikehendakinya. Kemudian katanya lagi kepada saya: “

Jangan engkau lama sangat di sana kerana kalau engkau lambat, engkau lebih penting kepada ku daripada kebun ku itu dan menyebabkan aku bimbang memikirkan sekalian pekerjaan aku.”

Kata Salman:” Saya pun keluar menuju ke kebun tersebut. Saya melintasi sebuah gereja orang Nasrani, saya terdengar suara mereka sedang bersembahyang. Saya tidak tahu apa kerja orang lain kerana saya dikurung ayah saya di dalam rumahnya. Tatkala saya terdengar suara mereka itu, saya terus masuk memerhatikan apakah yang sedang dilakukan mereka. Setelah saya perhatikan, saya pun tertarik kepada sembahyang mereka dan suka kepada pekerjaan mereka itu. Saya pun berkata:

”Demi Allah, ini lebih baik daripada agama kami!” Demi Allah saya pun tidak tinggalkan mereka sehingga matahari pun masuk, kebun ayah saya itu saya tinggalkan begitu sahaja, tidak saya datangi.

Kemudian saya bertanya kepada mereka: ”Dari mana asalnya agama ini?”

“Dari Negeri Syam!” kata mereka.

Saya pun kembali kepada ayah saya dan menyebabkan pekerjaannya terganggu. Setelah saya sampai kepadanya, dia pun berkata:”Hai anakku, ke mana engkau pergi? Sudahkah kau lakukan perkara yang aku suruh tadi?”. Kata saya:

“Ayahanda, tadi saya melintasi orang-orang yang sedang bersembahyang di dalam gerejanya, saya amat tertarik kepada agama mereka. Demi Allah, tidak akan saya tinggalkan mereka sehingga matahari pun masuk.”

Bapaku berkata: ”Anakku! Agama itu tidak baik, agama engkau dengan nenek moyang kau itu yang lebih baik!”

“Tidak!” kata saya. “Agama itu lebih baik dari agama kita!”

Dia pun terus menakutkan saya dan terus dipasangnya gari di kaki saya dan dikurungnya saya di dalam rumahnya. Saya suruh orang berjumpa dengan orang-orang Nasrani itu dan berpesan:

”Apakala datang kafilah dari negeri Syam, beritahu saya kedatangan mereka!”

Maka tatkala datang kafilah dari negeri Syam yang terdiri daripada saudagar-saudagar mereka dan setelah selesai keperluan mereka dan tiba waktu untuk berangkat, mereka pun memberitahu hal tersebut kepada saya dan saya pun berangkat bersama mereka sehinggalah saya sampai di negeri Syam. Setelah sampai di sana, saya pun bertanya:

”Siapakah yang paling banyak pengetahuannya tentang agama ini?”

“Bishop dalam gereja ini!” kata mereka.

Maka saya pun datangilah dia seraya berkata:

”Saya suka sekali akan agama ini, saya ingin sekali menyertai tuan, berkhidmat dengan tuan di dalam gereja ini, dapat belajar dari tuan serta bersembahyang bersama-sama dengan tuan hamba.”

“Masuklah!” katanya.

Maka saya pun masuklah. Rupa-rupanya dia seorang yang jahat. Dianjurkannya supaya orang bersedekah, dan manakala telah terkumpul sedikit barang, teruslah disimpannya buat dirinya sendiri, tidak diberitahukannya kepada orang-orang yang miskin, sehingga terkumpullah kepadanya 7 tong emas dan perak. Saya benci sekali kepadanya kerana melihat perbuatannya itu. Kemudian dia pun mati.”

Orang Nasrani pun berkumpul hendak mengebumikannya. Maka saya berkata kepada mereka:

”Ini orang busuk..!! Disuruhnya kamu bersedekah dan digembirakannya kamu supaya bersedekah, kalau kamu bawa sedekah kepadanya, teruslah disimpannya buat dirinya sendiri, sedikit pun tidak diberikannya kepada orang miskin.”

“Mana engkau tahu?” kata mereka.

Saya pun menunjukkan tempat simpanan peti itu.

“Cuba tunjukkan pada kami!” kata mereka.

Maka saya perlihatkan kepada mereka tempatnya itu, lalu dikeluarkan mereka 7 tong penuh dengan emas dan perak. Melihat itu, mereka pun terus berkata:

”Demi Allah, kita tidak akan tanamkan dia selama-lamanya!”

Maka Bishop itu pun teruslah disalib dan dilempari dengan batu. Setelah itu mereka datangkan seorang lelaki lain sebagai penggantinya. Demi Allah tidak saya lihat lain daripada dia orang yang sembahyang yang lebih utama daripada dia, tidak ada yang lebih zuhud daripada dia dan tidak ada yanglebih suka kepada akhirat daripada dia dan tidak ada yang bekerja terus menerus siang dan malam. Lantaran itu saya cintailah dia, belum pernah saya mencintai seorang jua sebelum itu. Saya pun tinggal menetap seketika dengan dia. Kemudian dia pun hampirlah mati. Ketika itu, saya berkata kepadanya:

”Tuan! Saya telah bersama-sama tuan. Saya cintai tuan dengan cinta yang belum pernah saya cintai orang lain seperti itu. Sekarang tuan telah didatangi dengan perintah Allah yang tuan lihat sendiri. Maka dengan itu, kepada siapakah lagi saya tuan wasiatkan? Dan apa perintah tuan akan saya?”

“Anakku!” katanya.

“Demi Allah tidak ada lagi saya ketahui sekarang orang yang berlaku seperti keadaan saya ini, kerana manusia telah binasa, manusia telah menukar-nukar, sudah meninggalkan apa yang ada di atas mereka itu, terkecuali seorang lelaki yang ada di negeri Mausil (Iraq), yaitu si Polan, dia adalah seperti keadaan saya ini, pergilah dapatkan dia!”

Setelah Bishop itu mati, pergilah saya ke orang Mausil tersebut. Kata saya kepada orang itu:

”Tuan Polan telah mewasiatkan saya sewaktu hampir ajalnya supaya saya mendapatkan tuan kerana menurut katanya Tuan seperti keadaanya juga.”

Kata orang itu:”Menetaplah di sini!”.

Maka saya pun tinggal tetaplah di situ. Saya dapati dia seorang lelaki yang sebaik-baiknya melakukan perintah sahabatnya. Tidak kunjung lama, dia meninggal pula. Maka tatkala telah hampir wafatnya, berkatalah saya kepadanya:

“Tuan! Tuan Polan dahulu berwasiat kepada saya supaya mendapatkan tuan, sekarang tuan telah dihadiri pula perintah Allah sebagaimana tuan lihat, maka kepada siapakah saya tuan wasiatkan? Dan apakah perintah tuan kepada saya?”

“Anakku!” katanya,

“Demi Allah tidak saya ketahui seorang lelaki yang keadaan seperti kita selain daripada seorang lelaki yang ada di Na-si-bina, yaitu si Polan, pergilah dapatkan dia!”

Setelah orang itu meninggal dunia, saya pun berangkat ke Na-si-bina, dan menceritakan keadaan saya kepada orang tersebut dan perintah-perintah kedua orang kawannya itu kepada saya. Katanya:

”Tinggallah di sini!”

Maka saya pun tinggalah di tempat itu. Saya dapati dia seperti keadaan kedua orang kawannya tersebut. Saya tinggal dengan orang yang sebaik-baiknya. Demi Allah, tidak kunjung lama, dia pun telah hampir wafat. Tatkala telah hampir wafatnya, berkatalah saya kepadanya:

”Tuan! Tuan Polan dulu mewasiatkan saya supaya mendapatkan Tuan Polan, dan Tuan Polan ini menyuruh saya mendapatkan tuan, sekarang kepada siapakah tuan wasiatkan saya dan apakah perintah-perintah tuan kepada saya?”

Katanya:”Hai Anakku! Demi Allah, saya tidak tahu apakah masih ada lagi orang yang berkeadaan seperti kita ini, supaya saya perintahkan engkau mendapatkannya, selain daripada seorang lelaki di Ammuryah, di tanah Rum, kerana dia seperti kita kalau engkau suka, pergilah datangi dia kerana dia seperti kita juga.

Maka tatkala ia telah meninggal, saya pun pergi mendapatkan orang Ammuryah itu dan menyampaikan khabar tersebut. Katanya:

”Tinggallah engkau di sini!”

Maka tinggallah saya dengan seorang lelaki yang berdiri di atas petunjuk kawan-kawannya itu, dan berkeadaan seperti mereka. Saya pun berusahalah, sehingga saya mempunyai beberapa ekor lembu dan kambing. Kemudian datanglah perintah Allah ke atas diri orang itu. Tatkala dia sedang menghadapi maut, berkatalah saya kepadanya:

“Tuan! Sewaktu saya tinggal dengan Tuan Polan dulu, diwasiatkan saya kepada Tuan Polan, maka diwasiatkannya pula saya kepada Tuan Polan ini, kemudian diwasiatkan kepada tuan hamba, sekarang kepada siapakah tuan wasiatkan saya, dan apakah perintah tuan kepada saya?”

Katanya:”Hai Anakku! Demi Allah, tidak ada lagi saya ketahui sekarang seorang manusia seperti kita ini di antara seluruh manusia buat tempat saya menyuruh engkau mendatanginya. Akan tetapi, sekarang telah dekat masa seorang Nabi akan dilahirkan dengan agama Ibrahim a.s yang keluar dari Tanah Arab tempat berhijrahnya di suatu tanah di antara dua Harrah, di antara keduanya ada pokok-pokok kurma, padanya ada tanda-tanda yang tidak tersembunyi, dia mahu memakan pemberian tetapi tidak mahu memakan sedekah, di antara kedua belikatnya ada cap keNabian, kalau engkau sanggup pergi ke negeri itu, Pergilahlah!”

Setelah itu dia pun meninggal dunia, saya pun tinggallah beberapa lama di Ammuryah, kemudian melintaslah di hadapan saya sekumpulan saudagar-saudagar orang Bani Kalb. Saya berkata kepada mereka:

”Bawalah saya ke Tanah Arab, saya beri kepada tuan-tuan lembu-lembu dan kambing-kambing saya ini.”

Kata mereka:”Baiklah.”

Saya pun memberikan haiwan-haiwan itu kepada mereka. Saya pun dibawa bersama-sama dengan mereka sehingga kami sampai di Wadil-Kura. Namun perkara sebaliknya berlaku, mereka telah melakukan kezaliman ke atas diri saya. Mereka jualkan saya kepada seorang Yahudi menjadi seorang hamba. Oleh sebab itu, tinggallah saya dengan orang itu dan nampaklah kepada saya pohon-pohon tamar, maka berharaplah saya sekiranya negeri itulah yang disebutkan oleh kawan saya itu. Akan tetapi masih belum lagi dapat saya pastikan. Sewaktu saya tinggal dengannya, tiba-tiba datanglah seorang anak saudaranya, orang Yahudi Bani Quraizah yang tinggal di Madinah. Saya pun lalu dibeli oleh orang ini dan dibawanya saya terus ke Madinah. Demi Allah, sebaik sahaja saya lihat, tahulah saya negeri itu adalah menurut keterangan sahabat saya itu. Maka saya pun menetap di sana.

Rasulullah s.a.w pun dibangkitkan. Selama Rasulullah s.a.w tinggal di Mekah, saya tidak mendengar berita tentang beliau kerana saya menguruskan pekerjaan saya sebagai hamba orang. Kemudian Nabi berhijrah ke Madinah. Demi Allah, sewaktu saya sedang di atas pokok mayang tamar tuan saya mengerjakan pekerjaan saya, dan tuan saya sedang duduk di bawah saya, tiba-tiba datanglah seorang anak saudaranya, lalu berhenti. Katanya:

”Polan, dibinasakan Allah hendaknya orang Bani Kailah (Aus dan Khazraj) itu.”

“Demi Allah, mereka sekarang sedang berkumpul-kumpul di Quba, kerana ada seorang lelaki yang baru datang dari Mekah pada hari ini, kata mereka orang itu Nabi!”

Salman meneruskan ceritanya: Tatkala saya dengar khabar itu, saya pun terus menggeletar, sampai saya sangka saya akan jatuh menimpa atas tuan saya, sebab itu saya turun dari pokok tamar itu dan terus berkata kepada anak saudara tuan saya itu

“Apa kata engkau?”

Tuan saya marah sekali lalu ditamparnya saya dengan kuat sekali. Setelah itu dia berkata:

”Apa perlu engkau dengan khabar itu, buat pekerjaan engkau!”

Sahut saya:”Tidak apa-apa, saya hanya hendak menanya ketetapan khabar yang dikatakannya itu.”

Kata Salman seterusnya: Sebenarnya ada sedikit barang pada saya yang telah saya kumpulkan. Pada sebelah petangnya, saya bawalah barang itu, lalu pergi mendapatkan Rasulullah s.a.w. yang sewaktu itu sedang berada di Quba. Saya pun masuk. Kata saya:

”Saya mendengar khabar bahawa tuan adalah seorang yang salih, dan tuan ada mempunyai kawan-kawan yang sama-sama berdagang, yang mempunyai keperluan, dan ini ada sedikit dari saya buat sedekah, saya lihat tuan-tuanlah yang amat berhak dengannya.”

Maka saya pun meletakkan barang saya tersebut di hadapannya.

Maka Rasul menahan tangannya, serta berkata kepada sahabat-sahabatnya itu:”Makanlah oleh kamu!” Lalu dimakan oleh mereka itu.

Kata saya kepada diri saya: “Ini satu.”

Kata Salman: Saya pun kembali terus mengumpulkan sedikit lagi barang. Rasululah s.a.w. pun telah tiba di Madinah, lalu saya datangi akannya.

Kata saya:”Sebenarnya saya lihat tuan tidak mahu makan sedekah, inilah hadiah buat menghormati tuan,” Maka Nabi menghulurkan tangannya, lalu dimakannya dan diperintahkannya sahabat-sahabatnya supaya bersama-sama memakannya, yang ditaati oleh sahabat-sahabatnya.

Kata saya kepada diri saya:”Ini dua.”

Kata Salman: Kemudian saya datangi lagi Rasulullah s.a.w. sewaktu dia sedang berada di Baki’il Kharkadi mengiringkan jenazah seorang laki-laki daripada sahabatnya. Saya ada mempunyai dua helai kain tebal buat jadi selimut, dan Nabi sedang duduk-duduk dengan sahabat-sahabatnya. Kemudian saya berputar ke belakang hendak melihat tiap yang disebutkan oleh sahabat saya itu. Tatkala dilihat Rasulullah s.a.w saya membelakanginya, tahulah ia maksud saya hendak mencari ketetapan sesuatu yang disebutkan orang kepada saya. Lalu ditanggalkan kain rida’ yang dipakai dari belakangnnya, maka saya lihatlah CAP itu yang mana lantas kami kenal akannya, lalu saya tungkupi menciumnya dan menangis. Kata Rasulullah s.a.w:

”Berhadaplah!” Maka berhadaplah saya di hadapannya, lalu saya kisahkan kisah saya kepadanya, sebagaimana yang saya ceritakan pada engkau wahai ibnu Abbas! Rasulullah s.a.w amat tertarik, kerana kisah itu didengar oleh sahabat-sahabatnya”. Akan tetapiSsalman diganggu oleh kehambaannya sebab itu dia tidak turut bersama Rasulullah s.a.w dalam perang Badar dan Perang Uhud.

Kata Salman lagi meneruskan kisahnya tersebut:

“Rasulullah s.a.w berkata kepada saya:”Tebuslah dirimu ya Salman dengan kitabah*. Maka saya minta kepada tuan saya supaya membikin perjanjian kitabah dengan saya dengan perjanjian menanam 200 pokok anak-anak tamar ditambah dengan 40 oun emas. Kata Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabatnya:”Bantulah saudara kamu itu” Maka dibantulah oleh mereka. Ada yang membantu dengan memberikan 30 pokok tamar seorang, ada yang 20 pokok seorang dan ada yang 15 atau 10 batang sahaja seorang, masing-masing menolong sekadar mampu, sehingga terkumpullah pada saya 300 anak tamar. Maka kata Rasulullah s.a.w kepada saya:”Pergilah korek lubangnya wahai Salman!” Apakala telah siap nanti, datang ke mari supaya saya sendiri yang meletakkannya dengan tangan saya!”

Kata Salman:” Saya membuat lubang dan dibantu oleh kawan-kawan saya. Setelah siap, saya khabarkan kepada Rasulullah s.a.w. Rasul pun keluar bersama saya ke tempat menanam itu. Kami hanya mendekatkan tampang tamar itu kepadanya dan Nabi sendiri yang meletakkannya dengan tangannya sehingga selesailah kami. Demi Tuhan yang memegang diri Salman, tidak ada barang sebatang jua yang mati. Maka terbayarlah hutang saya tentang pohon tamar itu, Cuma tinggal hutang wang. Rasulullah s.a.w pun datang dari salah satu lombong membawa emas sebesar telur ayam betina. Katanya:

”Apakah yang dilakukan orang Parsi yang mukatab itu?”

Kata Salman:”Saya pun dipanggil menghadap Rasul.

Sabdanya:”Ambillah ini, bayarlah hutang kamu itu , wahai Salman!”

Kata saya:”Macam mana jatuhnya wang itu atas (diri) saya, wahai Rasulullah?”

Baginda bersabdanya:”Ambillah, nanti Allah akan menggantinya daripada engkau.”

Kata Salman:” Maka saya pun ambillah dan saya timbang buat mereka, demi Tuhan yang memegang diri Salman, empat puluh auns, maka saya bayarlah dengan cukup kepada mereka. Merdekalah Salman. Dapatlah saya turut menghadiri perang Khandak bersama dengan Rasulullah s.a.w dalam keadaan telah merdeka. Semenjak itu, tidak ada lagi peperangan yang tidak saya sertai bersama Nabi Muhammad s.a.w.

Demikian riwayat Ibnu Hisyam.

Pengenalan

Assalamualaikum w.b.h..

Banyak kita boleh dapati bahan-bahan atau buku-buku yang menceritakan tentang Sejarah dan Perjuangan nabi besar kita Muhammad s.a.w. Setiap satu buku menceritakan dari berbagai aspek dan sumber. Sudah tentulah yang terulung sekali ialah buku ‘Sejarah Hidup Muhammad’ karangan Muhammad Hussain Haikal. Buku ini ialah buku pertama yang mengupas karangan Ibnu Ishak, penulis riwayat Nabi Muhammad s.a.w yang pertama dan menjadi rujukan kepada kebanyakan buku-buku riwayat nabi

Beberapa belas tahun yang lalu, saya menjumpai sebuah buku riwayat nabi s.a.w yang bertajuk ‘Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad’ oleh Haji Zainal Arifin Abbas terbitan Pustaka Antara. Buku ini mempunyai 10 jilid dan bagi saya secara peribadi, adalah sebuah buku yang sangat komprehensif yang menceritakan tentang riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang saya kagumkan tentang buku ini ialah ketelitian pengarangnya dalam mengkaji penulisan para orientalis Barat tentang Nabi Muhammad s.a.w yang tidak pernah didedahkan kepada umat Islam sendiri.

Apa yang ingin saya utarakan ialah petikan kisah-kisah sampingan yang dikutip oleh pengarang buat tatapan pembacanya. Kisah-kisah sampingan inilah yang ingin saya kongsikan bersama dengan pengunjung-pengunjung blog ini. Paling tidak ia dapat menjadi tatapan pengunjung-pengunjung yang sentiasa berada di hadapan komputer sewaktu sedang rehat dari bekerja ataupun untuk mencuci mata dan minda.

Saya bukan ahli sejarah ataupun seorang pakar di dalam bidang ini. Cuma sekadar menyedari yang apa yang dibaca patut dikongsikan bersama. Ini adalah sedikit usaha kecil yang dapat saya lakukan dalam mengembalikan umat Islam agar cintakan Muhammad s.a.w.

Saya percaya apabila membaca kisah-kisah ini, ia menjadi pengetahuan tambahan dan iktibar serta menambahkan lagi kasih dan sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kisah-kisah ini akan menjadi sulaman kepada sejarah riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. yang telah kita baca dan ketahui sebelum ini dan seterusnya membekas terus di dalam hati kita.


Ia akan menjadi Sulaman Sejarah kepada Permata Hati umat Islam semua .

Permata Hatiku Muhammad s.a.w.