03 Jun 2009

Kisah Pertemuan Abdul Muttalib dengan Raja Saif bin Zi Yazan

Assalamualaikum w.b.h..

Pada posting kali ini saya majukan kisah tentang pertemuan di antara Abdul Muttalib dengan Raja Saif bin Zi Yazan, Raja Yaman di mana pada ketika inilah Abdul Muttalib menyedari siapakan sebenarnya cucu yang amat disayanginya itu.

****************************************************

Raja Saif bin Zi Yazan ialah orang yang mengetuai suku Arab Himyar menentang penjajahan Habsyah setelah tentera Habsyah menjadi lemah ekoran kekalahan mereka di Mekah dua tahun selepas tahun Gajah. Lebih-lebih lagi pemerintah yang menggantikan Abrahah selepas itu sangat zalim dan kejam.

Yaman mempunyai hubungan dagangan dengan Mekah dan di antara beberapa pemimpin Quraisy Mekah yang selalu mengunjungi beliau ialah Abdul Muttalib sendiri. Sewaktu upacara penobatan Raja Saif bin Zi Yazan sebagai Raja Yaman, Abdul Muttalib turut menyampaikan kata-kata sambutan dan selamat. Sesudah sebulan berada di Yaman, semua perutusan dari Mekah memohon diri untuk pulang.

Ketika bermohon untuk pulang, Raja Saif bin Zi Yazan ini tiba-tiba teringat akan sesuatu hal yang penting, yang mana ia berkaitan dengan Abdul Muttalib. Ia meminta berbicara empat mata dengan Abdul Muttalib sendiri. Perkara tersebut adalah besar sekali. Ia adalah ilmu berkenaan dengan rahsia-rahsia yang diketahuinya dengan perantaraan ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kitab-kitab yang tersimpan baik, yang digunakan untuk kegunaan sendiri. Ilmu itu mengatakan:

“Telah dekat sekali masa kedatangan seorang yang besar yang menjadi kehormatan bagi kita seorang manusia umumnya dan teristimewanya sekali bagi golongan tuan” kata Raja Saif bin Zi Yazan kepada Abdul Muttalib.

Kemudian Raja Saif bin Zi Yazan menerangkan bahawa akan lahir seorang anak di Tihamah yang mempunyai tanda di antara kedua belikatnya, yang akan menjadi Imam sampai Hari Kiamat. Ketika di sini Abdul Muttalib menurut adat masa itu memohon supaya Raja memberi penjelasan yang lebih lanjut berkenaan dengan perkara tersebut.

“Inilah masanya anak itu dilahirkan atau telah dilahirkan. Tandanya ayah dan ibunya telah wafat. Anak itu kemudiannya akan dipelihara oleh datuk dan bapa saudaranya. Keterangan tersebut sudah kami dapat berkali-kali, dan Allah pasti akan melahirkannya dengan berterus-terang, juga Allah akan memberikan seberapa banyak penolong kepadanya untuk menolong perjuangannya serta melemahkan musuh-musuhnya.

Ia akan membuka tanah-tanah yang mulia dan melontarkan sekalian orang yang tidak suka ke tepi. Ia akan memadamkan agama-agama berhala serta membawa manusia menyembah Tuhan Ar Rahman. Perkataannya menjadi hakim. Perintahnya cermat dan keras, dasarnya ia memerintahkan yang lebih baik dan menegah yang mungkar.”

Sampai di sini Abdul Muttalib memajukan soalan:

“Mudah-mudahan panjang umur tuan, kekal kerajaan tuan, tinggi kebesaran tuan. Adakah Raja masih bersenang hati untuk memberikan lebih penjelasan dalam hal ini?”
Raja Saif bin Zi Yazan menjawab: “Rumah itu mempunyai kelambu, tanda-tanda dan tuan, wahai Abdul Muttalib, adalah datuknya dengan tiada dusta.”

Ketika itu tersungkurlah Abdul Muttalib bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.
Raja Saif bin Zi Yazan menyuruh Abdul Muttalib bangun kerana ia hendak berkata lagi:

“Apakah engkau ada merasakan sesuatu atas apa yang telah saya katakan ini?”

Abdul Muttalib menjawab:

“Tuan, sebenarnya ada seorang anak yang saya cintai. Telah saya nikahkan dengan seorang puteri dari kalangan kaum-kaumnya juga, bernama Aminah binti Wahab, melahirkan seorang anak, di antara kedua belikatnya ada tanda yang mengandungi segala apa yang tuan katakan itu, dan sekarang telah wafat ayah dan ibunya tinggal di bawah jagaan saya dan seorang bapa saudaranya.”

Raja Saif bin Zi Yazan berkata lagi:

“Benarlah apa yang saya katakan itu seperti yang tuan katakan pula. Oleh sebab itu peliharalah anak tersebut sebaik mungkin dan berwaspadalah tuan daripada bahaya orang Yahudi kerana mereka akan memusuhinya. Akan tetapi Tuhan tidak akan memberikan jalan kepada mereka. Hanya saya minta supaya hal ini tetap menjadi rahsia tuan sahaja. Jangan sampai diketahui oleh rombongan yang ikut bersama tuan, kerana saya tidak percaya. Saya takut orang akan berlumba-lumba merebut kedudukan.”

“Nanti mereka akan melakukan segala daya upaya, memasang segala tipu muslihat untuk menjauhkan tuan dan mereka tidak akan memberatkan diri di dalam perkara ini. Kalau tidak kerana mengetahui bahawa mati akan datang melintasi saya ssebelum anak tersebut dibangkitkan Tuhan, tentu saya akan datang dengan angkatan perang saya menuju ke Yathrib, negara tempat hijrahnya itu, sebab saya mendapati di dalam kitab yang bertutur dengan kebenaran bahawa Yathrib itulah tempat hijrahnya, rumah tempatnya beroleh kemenangan.”

“Kalau tidak saya hendak menghindarkan bahaya dan bala bencana daripadanya tentulah hal ini saya terangkan kepada orang banyak sewaktu ia masih kecil. Akan tetapi sekarang saya serahkan hal itu kepada tuan dan orang-orang yang bersama tuan, sebab saya tidak berdaya untuk berbuat demikian.”

Abdul Muttalib kembali bersama teman-temannya ke Mekah. Mereka beroleh hadiah untuk setiap seorang berupa 10 orang hamba hitam, 10 orang hamba perempuan hitam, 5 kati perak, 2 pakaian Yaman dan satu bejana penuh dengan minyak Anbar. Untuk Abdul Muttalib sendiri diberikan 10 kali ganda dari yang telah disebutkan.

Dalam perjalanan kembali itu, Abdul Muttalib berkata kepada teman-teman seperjalanannya bahawa meskipun ia beroleh hadiah lebih banyak dari kawan-kawannya, tetapi dia tidak berasa bangga dengan hadiah tersebut. Yang menjadi kebanggaan baginya ialah ucapan dan pengharapan Raja Saif bin Zi Yazan yang mengatakan bahawa kemuliaan dan kehormatan akan saya peroleh dan demikian juga bagi keturunan saya sendiri.

Apabila sahabat-sahabatnya meminta penjelasan beliau menjawab:

“Tunggu..tidak lama lagi akan menjadi kenyataan”.